|
Pada 10 Disember 1969, Hill Samuel Australia Limited ditubuhkan di Australia dengan tiga eksekutif sebagai kakitangannya. Dengan aspirasi untuk menawarkan pelbagai perkhidmatan dan produk kewangan dengan mutu terbaik dari segi perkhidmatan, pengetahuan dan kemahiran, Hill Samuel Australia mulai memenangi mandat-mandat penting.
Lima belas tahun kemudian, para pengarah di Hill Samuel Australia memutuskan bahawa ketika itu adalah masa terbaik untuk penyusunan semula bisnes sebagai bank perdagangan baru di Australia. Hasil daripada kejayaan permohonan yang dibuat kepada Kerajaan Persekutuan Australia, Macquarie Bank Limited telah ditubuhkan pada bulan Februari 1985.
Nama dan logo Bank ini diinspirasikan oleh Gabenor Lachlan Macquarie, gabenor awal yang paling berjaya. Gabenor Lachlan Macquarie (1761 – 1824) memainkan peranan yang amat penting dalam menubuhkan bank pertama di Australia dan juga bertanggungjawab memperkenalkan wang logam pertama di Australia, Dolar Berlubang.
Pada tahun 1813, bagi mengatasi masalah kekurangan matawang yang teruk, Gabenor Lachlan Macquarie telah membeli dolar perak Sepanyol (yang bernilai lima syiling pada masa itu), melubangkan tengahnya dan mencipta dua wang logam baru – ‘Dolar Berlubang’ (bernilai lima syiling) dan Dump (bernilai satu syiling dan tiga pence). Langkah ini bukan sahaja meningkatkan jumlah wang logam dalam peredaran sebanyak dua kali ganda tetapi juga meningkatkan jumlah nilainya sebanyak 25 peratus dan mencegah wang logam daripada meninggalkan koloni ini.
Penciptaan Dolar Berlubang oleh Gabenor Macquarie merupakan inspirasi dalam menyelesaikan masalah yang sukar dan dengan demikian, Dolar Berlubang telah dipilih sebagai lambang Macquarie Group.
|